10 Makanan untuk lebih subur

Posted on January 18, 2013

0


Sedang berusah untuk hamil? Untuk itu bantulah tubuh anda dengan membekalkan keperluan zat dan mineral yang diperlukan dalam membantu usaha anda itu. Diet yang sihat dan seimbang sangat penting sebelum dan semasa kehamilan. 10 makanan ini mungkin mampu ditambah ke dalam menu harian sebagai alternatif tambahan!

BIJIRIN PENUH

bijirin

Bijirin penuh seperti oat, beras perang, ‘quinoa’, gandum penuh adalah di antara makanan karbohidrat kompleks. Ia membantu memberikan anda tenaga yang sangat banyak dalam cubaan anda mendapatkan anak dengan merembeskan gula secara teratur di dalam darah. Ya, untuk memulakan proses kehamilan anda memerlukan tenaga yang sangat banyak! Selain itu, kesemua makanan ini juga mengandungi vitamin B dan E yang sangat baik dalam membantu kesimbangan hormon dan penghasilan sperma serta telur yang sihat.

MINYAK IKAN

minyak ikan

Minyak ikan yang terkandung di dalam ikan salmon, makarel dan sardin adalah sumber asid lemak Omega-3 dan 6 yang terbaik. Nutrisi ini memainkan peranan penting dalam melancarkan proses reproduktif, mempertingkatkan aliran darah dan meningkatkan kualiti sperma yang dihasilkan oleh lelaki.

BAWANG PUTIH

bawang putih

Jika difikirkan baunya, ia bukanlah makanan perangsang suasana romantis tetapi khasiatnya sangat baik dalam mempertingkatkan kesuburan. Ia kaya dengan sumber selenium di mana sangat baik bagi kesuburan lelaki dan membantu mencegah kromosom dari terpecah serta mengurangkan risiko keguguran bagi wanita. Bawang putih juga kaya dengan kandungan vitamin B6 yang penting dalam keseimbangan hormon serta membantu menguatkan sistem imunisasi.

PRODUK TENUSU

tenusu

Satu kajian di United Kingdom mendapati bahawa wanita hamil yang menikmati sekurang-kurangnya satu sajian penuh dari produk tenusu setiap hari kurang berdepan masalah kesuburan. Produk tenusu seperti susu, keju atau yogurt ini kaya dengan kalsium yang penting bagi membantu tumbesaran dan pengekalan tahap kesihatan sistem saraf, tulang dan darah.

DAGING MERAH (Tanpa Lemak)

daging

Kaya dengan zat besi yang bermanfaat mencegah anemia, membantu merendahkan risiko gangguan penghasilan telur bagi wanita dan mempertingkatkan penghasilan serta fungsi darah merah dalam tubuh. Daging merah juga kaya dengan vitamin B12 yang sangat diperlukan untuk mengekalkan tahap kesihatan sistem saraf anda.

MADU

honey

Khasiat madu untuk kesuburan sudah diyakini semenjak beratus tahun dahulu lagi. Madu kaya dengan pelbagai mineral dan asid amino yang dapat membantu mengekalkan kualiti kesihatan sistem reproduktif dan mempertingkatkan fungsi ovari bagi wanita.

TIRAM

tiram

Kaya dengan zat besi yang diketahui sangat penting untuk membantu mempertingkatkan kesuburan. Fungsi zat besi adalah untuk merangsang penghasilan sperma dan telur yang berkualiti. Jika tiram bukan pilihan anda kerana bimbang akan kolestrolnya, maka anda boleh beralih kepada sumber zat besi yang lain seperti kacang panggang, ayam, kekacang, mil penuh dan bijian labu.

BAYAM

spinach

Bayam dan kebanyakkan sayuran hijau yang lain adalah sumber terbaik bagi asid folik. Asid folik sangat penting bagi membantu mempertingkatkan penghasilan telur yang sihat, membantu menstabilkan kitaran haid serta sangat baik untuk membantu mengoptimakan penghasilan sperma berkualiti bagi lelaki. Pengambilan asid folik di dalam bentuk suplemen juga sangat digalakkan untuk diamalkan sekurang-kurangnya tiga bulan sebelum merancang kehamilan. Bayam juga kaya dengan zat besi serta vitamin C yang baik dalam melindungi DNA dari rosak.

CILI

cili

Makanan ‘pedas dan panas’ ini berfungsi untuk membantu mempertingkatkan aliran darah dengan memastikan sistem reproduktif anda mendapat bekalan darah yang secukupnya. Cili membantu menstimulasikan penghasilan hormon endorfin yang baik untuk melegakan tekanan, menggalakkan emosi gembira seterusnya mempertingkatkan kesuburan. Sumber vitamin C di dalamnya juga membantu mempertingkatkan lagi penyerapan zat besi ke dalam tubuh.

AVOKADO

avokado

Membekalkan sumber vitamin E terbaik dan juga kaya dengan kandungan antioksidan. Dua komponen utama ini sangat penting dalam kesuburan lelaki dan wanita di mana ia membantu menyempurnakan fungsi ovulasi serta penghasilan sperma lebih berkualiti. Ia juga kaya dengan kandungan ‘lemak sihat’ yang baik untuk merangsang fungsi hormon dalam tubuh secara keseluruhan. Selain avokado, minyak zaitun juga memounyai manfaat sama.

Petikan dariruangan:
Ekstradiet Erny Hernani Hashim
Majalah Rapi April 2011

Advertisements
Posted in: Info