Menyusukan anak ketika hamil?

Posted on March 18, 2013

0


Persoalan:
Bolehkah saya menyusukan anak ketika hamil? Jika saya teruskan juga, adakah ia akan memberi kesan kepada kesihatan anak saya? Bagaimana pula dengan kesihatan saya dan bayi yang berada dalam kandungan?

ibu-menyusu_thumb

Artikel ini saya petik dari buku Hebatnya Susu Ibu yang ditulis oleh Rita Rahayu Omar keluaran Karangkraf.

“Saya terdorong untuk kongsikannya dengan anda kerana saya juga pernah mengalami situasi yang sama seperti di atas. Saya disahkan hamil lagi ketika anak kedua saya baru berusia setahun empat bulan. Pada masa itu saya masih menyusukannya dengan susu ibu secara eksklusif.

Setelah meminta pandangan ummy saya juga doktor maka saya membuat keputusan untuk bercerai susu dengan anak kedua saya itu. Ralat sungguh kerana saya telah berazam untuk memberikannya susu ibu sehingga dia berusia dua tahun setengah. Tapi perancangan Allah mengatasi segala-galanya.

Untuk anak ketiga ini saya berharap dapat menyempurnakan matlamat saya untuk memberikannya susu ibu sehingga dia berusia dua tahun. InsyaAllah. AMIN.”

Sekarang saya kongsikan dengan anda jawapan kepada persoalan di atas. Sekiranya anda mempunyai keraguan diharapkan setelah membacanya ia dapat membantu anda untuk membuat keputusan samada ingin meneruskan penyusuan atau bercerai susu seperti mana yang saya lakukan. Apa jua keputusan anda semoga ia dipermudahkan olehNYA.

American Academy of Pediatrics menyarankan bayi diberi susu ibu secara eksklusif dalam enam bulan pertama tanpa diberi sebarang jenis makanan atau minuman lain dan terus menyusu badan sepanjang tahun pertama dan seterusnya. Untuk pengetahuan anda, sepanjang tempoh penyusuan ekslusif selama 6 bulan (tanpa memberi sebarang suplemen formula, air atau makanan), kemungkinan untuk mengandung adalah agak tipis. Tetapi ini bergantung kepada beberapa faktor. Oleh itu tidak mustahil untuk anda mengandung lagi walaupun dalam tempoh penyusuan.

Sehubungan itu, apabila disahkan mengandung, kebanyakkan ibu dalam dilema sama ada mahu bercerai susu ataupun terus menyusukan. Ini berlaku akibat konflik yang dialami setelah mendapat nasihat daripada ahli keluarga, kawan-kawan mahupun doktor. Setakat ini, belum ada bukti yang mengesahkan kehamilan boleh memudaratkan kandungan. Namun, jika ibu pernah mengalami keguguran berturut-turut, pernah melahirkan bayi pra-matang, hamil kembar ataupun menunjukkan tanda-tanda akan melahirkan lebih awal dari jangkaan, ia patut diberi perhatian kerana oksitosin boleh merangsang kontraksi dan boleh menyebabkan kelahiran pra-matang. Ibu-ibu dikategorikan sebagai berisiko. Oleh kerana itulah, ibu biasanya dinasihatkan untuk bercerai susu.

Walau bagaimanapun, kajian menunjukkan bahawa rahim tidak memahami ‘mesej’ daripada oksitosin untuk memulakan kontraksi sehinggalah kandungan berusia lebih kurang 24 minggu. Jadi, penyusuan sehingga kandungan berusia 20 minggu masih dianggap selamat untuk ibu-ibu yang berisiko ini. Oleh yang demikian, ibu tidak perlu bercerai susu secara mendadak. Bagi ibu yang bercadang untuk meneruskan penyusuan, dia perlu mengambil kira beberapa perkara penting: sejarah perubatan, tahap keselesaan fizikal dan emosi, usia anak dan keperluan penyusuannya.

Dalam pada itu, penyusuan seaktu mengandung tidak akan menghalang janin mendapatkan zat makanan yang diperlukannya. Ia juga tidak akan melemahkan tubuh ibu. Sewaktu mengandung, amat penting untuk anda mengambil makanan berkhasiat, mendapatkan berat badan yang sesuai dan menikmati rehat yang secukupnya. Ibu yang memperoleh khasiat yang mengcukupi sepatutnya tidak akan mempunyai masalah untuk membekalkan khasiat untuk kandungannya dan anak yang disusukan.

Untuk pengetahuan anda, sewaktu mengandung, kebanyakkan ibu akan mengalami masalah dalam penghasilan susu disebabkan oleh perubahan hormon. Malah, sewaktu trimester kedua, susu ibu akan mula berubah menjadi kolostrum. Kuantiti dan rasa susu akan berubah secara mendadak. Oleh kerana itulah, kebanyakkan bayi akan bercerai susu dengan sendirinya setelah menganggap rasa susu berbeza daripada biasa.

Perlu diingat! Jika anda menyusukan bayi berumur kurang dari enam bulan sewaktu mengandung, anda perlu memantau perkembangan dan pertambahan berat badannya. Bayi yang berumur enam bulan ke atas pula, biasanya mereka akan berubah selera kepada makanan pejal memandangkan bekalan susu anda makin berkurangan.

Advertisements
Posted in: Info