G6PD. Apakah ia?

Posted on March 25, 2013

0


Apakah sebenarnya yang dikatakan G6PD dan bagaimana pula dikatakan anda pengidapnya.

G6PD adalah Glucose-6-phosphate dehydrogenase dan pengidapnya adalah mereka yang kekurangan sejenis enzim G6PD ini. Tanpanya, sel darah merah tidak dapat bertahan lama apabila terdedah kepada sesetengah bahan kimia yang biasanya terkandung di dalam makanan atau ubat-ubatan. Dan fungsi G6PD ini ialah melindungi sel darah merah daripada dimusnahkan dengan lebih awal daripada hayat biasa.

Apabila sel darah merah musnah (aneamic hemolysis) ia menyebabkan anemia dan pengidap mengalami masalah pening, kepenatan, pucat, air kencing berwarna pekat, sakit di bahagian abdomen dan belakang. Keadaan ini memerlukan anda mengamalkan pemakanan yang khusus. Oleh itu, elakkan sesetengah jenis ubat termasuk segelintir antibiotik, makanan, bahan kimia dan herba.

Amalan berhati-hati dengan keadaan dan tahu apa yang patut dielakkan dapat mengelakkan masalah lebih serius berlaku. Bayangkan keadaan individu yang mengalami alahan teruk terhadap sesetengah jenis makanan dan ubat. Individu berkenaan seharusnya mengelakkan diri secara langsung atau tidak langsung daripada makanan dan ubat tersebut.

Masalah kekurangan G6PD bukanlah satu kecacatan atau penyakit. Ia merupakan satu fenomena keturunan yang melibatkan kedua-dua jantina, lelaki dan perempuan, tetapi lebih sering dialami oleh bayi lelaki. Ia secara am, ditemui pada mereka yang mana ibu bapa mereka berasal dari daerah yang pernah sering mengalami Malaria.

Tahukah anda?
G6PD antara masalah metabolisme yang agak biasa berlaku kepada bayi baru lahir terutamanya di kalangan orang Asia.

Pada kebiasaanya, sebaik sahaja bayi dilahirkan, darah tali pusat bayi akan dihantar untuk pemeriksaan enzim G6PD di makmal. Di antara ujian yg akan dibuat ialah dengan mengambil paras sebenar enzim G6PD bayi dari lahir. Sekiranya enzim G6PD kurang, sel darah merah senang pecah dengan lebih awal. Ini boleh menyebabkan bayi menghidap penyakit kuning (jaundis) dan pucat serta mungkin boleh memudaratkan bayi.

Disebabkan kekurangan G6PD ini biasanya adalah penyakit keturunan, dengan itu ia adalah sepanjang hayat. Bagi bayi yang didapati kekurangan enzim G6PD, bayi perlu diawasi dalam wad untuk lebih kurang seminggu supaya kejadian pucat dan kuning dapat dipantau dan dirawati. Selalunya, rawatan akan meliputi penggunaan alat cahaya fototerapi untuk kuning dan sekiranya bayi terlalu pucat, kemungkinan perlu untuk dimasukkan darah. Sedikit darah bayi perlu diambil mengikut kekerapan yang ditetapkan untuk pengawasan paras kuning atau pucatnya. Bayi kemudian akan dibenarkan pulang ke rumah setelah dipastikan tiada sebarang masalah yang lain.

Jika bayi anda mengidap G6PD dan dia diberi susu ibu, apa yang perlu dilakukan?
Doktor pakar kanak-kanak akan menyenaraikan ubat, ubat herba, makanan dan bahan kimia yang perlu dielakkan oleh bayi. Malah, anda juga perlu mengelakkan semua bahan ini. Jumlah bahan yang anda makan atau ambil akan menyerap masuk sedikit ke dalam susu ibu. Jadi, ada baiknya, anda mengelak ubat buatan sendiri, ubat tradisional melainkan dibekalkan oleh doktor bertauliah.

Anda masih boleh menyusukan bayi jika mengikut panduan yang turut diamalkan oleh individu yang mengidap G6PD.

Antara makanan dan bahan lain yang perlu dielakkan ialah:-

  • Kacang parang. Di Malaysia, biasanya ia dijadikan snek.
  • Sekiranya bayi diberikan sebarang suplemen, elakkan susu formula yang mengandungi soya. Produk berasaskan soya turut dipercayai boleh mendatangkan mudarat.
  • Jika bayi sudah mula makan, hati-hati apabila memperkenalkan kekacang seperti kacang pis dan sebagainya.
  • Ubat gegat. Jauhkan ubat gegat daripada bayi. Jangan biarkan mereka memegang atau berada dekat sehingga boleh menyedut baunya. Jika and amahu memakaikan bayi dengan pakaian lama, pastikan ia dicuci bersih sebelum diguna. Dikhuatiri kesan ubat gegat masih melekat padanya.
  • Minyak pudina.
  • Bluberi.

ttar_peas_03_v_launch

Kacang Pis – antara makanan yang perlu dielakkan

 

Untuk mengetahui lebih lanjut anda boleh lawati laman sesawang ini http://www.g6pd.org/en/G6PDDeficiency.aspx

Berikut pula adalah ubat-ubatan serta antara makanan yang tidak boleh diambil atau perlu dielakkan oleh penghidap masalah kekurangan enzim G6PD:

Ubat untuk Merawat Malaria:

  • Choroquine
  • Hydroxycloroquine
  • Primarquine
  • Pamaquine
  • Quinine
  • Mepacrine (Quinacrine)

Ubat Penahan Sakit

  • Acetylsalicylic Acid (Aspirin)
  • Phenacetin (Acetophenetidin)
  • Aminopyrine (Amidopyrine)

Ubat Antibiotik

  • Chloramphenicol
  • Cotrimoxazole (Bactrim)
  • Furazolidine
  • Nalidixic Acid
  • Nitrofurantoin
  • Nitrofurazone
  • Para-Aminosalicy Acid

Ubat-ubatan berasaskan Sulfur dan sebagainya

  • Sulfapyridine
  • Sulfasalazine

Lain-Lain

  • Fava Bean (jenis kacang parang)
  • Naphtalene (Ubat Gegat)
  • Ubat tradisional
  • Parabenecid
  • Dimercaprol
  • Dapsone
  • Procainamide
  • Para-Aminobenzoic Acid
  • Silver Sulphadiazine Cream
  • Methylene Blue

Tanda-tanda sekiranya termakan ubat atau makanan yang tidak sesuai kepada pengidap G6PD.

  • Anak kelihatan pucat akibat sel darah merah musnah dengan lebih cepat
  • Anak mungkin mendapat kuning (jaundis) dengan serta merta
  • Air kencing berdarah atau berwarna teh pekat
  • Letih / lesu dan tidak bermaya
  • Demam

Ibu bapa diingatkan untuk segera membawa anak anda ke hospital sekiranya terdapat tanda-tanda seperti yang dinyatakan di atas.

Advertisements
Posted in: Info