Diet Pesakit Diabetes

Posted on October 17, 2014

0


Bagi pesakit diabetes adalah penting bagi mereka untuk mengira jumlah kalori yang diambil. Pasti ada tahu, pemilihan makanan sangat penting untuk mengelakkan seseorang mendapat penyakit diabetes ataupun mengawal penyakit yang telah dihidapi. Ini kerana kandungan gula dalam darah berpunca daripada pemakanan. Lebih tinggi kandungan gula dalam makanan, maka semakin berisikolah seseorang itu mendapat diabetes.

Pesakit diabetes perlu mengetahui bahawa khasiat di dalam makanan boleh meningkatkan kadar gula dalam darah. Justeru memakan makanan yang mengandungi gula tanpa disedari boleh menaikkan kadar gula dan ini membahayakan kesihatan pesakit diabetes.

Antara makanan yang mengandungi kandungan gula secara tersembunyi ialah nasi, roti canai, roti, putu mayam, biskut, pasta, jus buah, buah-buahan, kentang dan jagung. Justeru pesakit diabetes perlu lebih peka terhadap pengambilan makanan kerana ada gula yang tersembunyi di dalamnya.

Pakar pemakanan dari Pusat Pakar Sime Darby, Subang Jaya, Bee See Wei berkata, terdapat tiga aspek penting kala menguruskan pemakanan pesakit diabetes iaitu:

  1. Jenis makanan yang dimakan
  2. Jumlah kuantiti yang dimakan
  3. Waktu makan.

“Ketiga-tiga aspek ini perlu diberikan perhatian ketika menguruskan diet pesakit diabetes kerana melalui faktor inilah kita dapat mengetahui anggaran kandungan gula yang masuk ke dalam badan pesakit,” katanya.

 

KENAL PASTI JENIS MAKANAN

Sebelum makan, beri perhatian kepada jenis makanan yang anda ambil. Misalnya, makanan daripada kelompok karbohidrat. Ada karbohidrat yang cepat menghasilkan gula dan ada yang lambat. Justeru anda perlu tahu akan kedua-duanya.

Orang ramai terutamanya golongan yng mempunyai masalah diabetes dinasihatkan supaya mengambil makanan yang lambat menghasilkan gula. Nasi ialah contoh karbohidrat yang paling mudah dikenal pasti. Perbezaan karbohidrat dalam nasi boleh dilihat melalui nasi daripada beras biasa dan beras basmati ataupun beras perang.

Menurut Bee See Wei dalam kertas kerjanya yang bertajuk The Art Of A Sweet Life, individu perlu bijak memilih makanannya. Gantikn roti putih dengan roti bijirin penuh, biskut digantikan dengan biskut oat dan kentang goreng digantikan dengan jagung.

Tanda-tanda Penyakit Diabetes

  • Sentiasa dahaga
  • Kerap buang air kecil terutama pada waktu malam
  • Selera makan meningkat
  • Hilang berat badan
  • Cepat letih
  • Luka lambat sembuh
  • Penglihatan menjadi kabur
  • Pedih di tapak kaki
  • Hujung jari terasa bagai ditusuk jarum
 
LANGKAH KAWAL DIABETES

 

#1 – Pemakanan
Pemakanan berkarbohidrat dan gula seharusnya dikurangkan supaya pengambilan kadar kalori terkawal. Berbincanglah dengan doktor dan pakar pemakanan untuk cara diet yang terkawal.

 

#2 – Senaman
Senaman penting untuk membantu mengurangkan berat badan dan juga menambahkan kesihatan jantung dan paru-paru. Senaman perlu dimulakan secara beransur-ansur dan dengan nasihat doktor.

 

#3 –  Penjagaan Berat Badan
Pesakit yang mempunyai berat badan berlebihan akan mendapati tahap gula dalam badan sukar dikawal. Terdapat pesakit yang boleh menghentikan ubat kencing manis apabila berat badan dapat dikawal.

 

#4 – Pemeriksaan Diri Sendiri
Pesakit kencing manis dinasihatkan membuat pemeriksaan sendiri terutamanya pada jari dan kaki yang kebas untuk tanda luka atau jangkitan kerana deria rasa sakit berkurangan. Ini membolehkan rawatan awal agar jangkitan tidak merebak.
Advertisements
Posted in: Info