Kehamilan Dan 3 Penyakit Yang Perlu Anda Tahu

Posted on October 25, 2014

0


“Abang, saya hamil”.

“Betul ke ni sayang?”

Si isteri hanya mengangguk laju dengan senyuman yang tidak lekang dari bibir sejak dari awal. Dan mereka berpelukan serta mensyukuri kurniaan Allah SWT.

Kehamilan Dan 3 Penyakit Yang Perlu Anda Tahu

Berita tentang kehamilan adalah saat mengembirakan bagi pasangan suami dan isteri. Bakal lahir adalah bukti cinta di antara mereka, yang menjadi kesinambungan kepada keturunan. Namun adalah penting untuk ibu hamil mendapatkan informasi mengenai kehamilan yang mungkin bermasalah.

Kebanyakkan kehamilan tidak mempunyai masalah. Namun begitu terdapat beberapa keadaan yang memerlukan anda untuk lebih prihatin sepanjang tempoh kehamilan. Mari menyelongkar maklumat untuk anda ambil peduli agar anda dan kandungan selamat daripada sebarang masalah.

#1 – PRAEKLAMPSIA

Keadaan ini berlaku dalam satu daripada 10 kehamilan. Ia boleh timbul sekitar minggu ke-20 kehamilan sehingga beberapa hari sebelum kelahiran bayi. Ia berlaku disebabkan oleh kerosakan uri yang menyebabkan kekurangan darah. Uri membekalkannya oksigen dan nutrien kepada bayi. Jika praeklampsia tidak dikesan dan berkembang menjadi eklampsia, ia boleh meragut nyawa anda dan bayi.

◕◕Golongan Berisiko Tinggi◕◕

Sesiapa saja berisiko untuk mengalami praeklampsia. Ini termasuklah ibu yang pertama kali hamil dan mempunyai berat badan berlebihan. Sekiranya anda berusia 40 tahun, anda juga berisiko. Begitu juga dengan anda yang mempunyai sejarah keluarga yang mempunyai praeklampsia, tekanan darah tinggi, kencing manis atau penyakit buah pinggang. Sama juga halnya dengan anda yang pernah melahirkan bayi kembar dan pernah mengalami praeklampsia pada kehamilan terdahulu.

◕◕Simptom◕◕

praeklampsia

Malangnya wanita yang mengalami praeklampsia tidak akan menyedari langsung simptom-simptom yang ada. Oleh sebab itu, pemeriksaan antenatal sangat penting. Dengan cara inilah, doktor dapat mengesannya melalui petunjuk daripada peningkatan tekanan darah, protein di dalam air kencing dan bengkak. Kesakitan di bahagian abdomen atas, muntah, sakit kepala yang teruk dan gangguan penglihatan juga merupakan antara petunjuk praeklampsia.

◕◕Kesan◕◕

Praeklampsia boleh menyebabkan uri gagal berfungsi dengan baik lalu memberi kesan kepada perkembangan bayi. Jika anda disyaki mengalami praeklampsia, kelahiran anda mungkin perlu proses induksi. Dalam kes yang lebih teruk, anda mungkin dinasihatkan untuk melahirkan bayi secara caesarean.

#2 – PLACENTAL ABRUPTION

placental abruption

Hal ini berlaku apabila uri secara keseluruhan atau sebahagiannya terpisah daripada dinding rahim.

◕◕Golongan Berisiko Tinggi◕◕

Kira-kira satu dalam 120 orang wanita akan mengalami keadaan ini tetapi tahap keseriusannya adalah berbeza antara satu sama lain. Tekanan darah tinggi, umur melebihi 35 tahun, mengalami trauma di bahagian abdomen seperti kecederaan akibat kemalangan kereta, merokok, minum alkohol dan penyalahgunaan dadah akan meningkatkan risiko placental abruption.

◕◕Simptom◕◕

Lebih kurang 80 peratus wanita hamil yang mengalami keadaan ini akan berisiko mengalami pendarahan. Ada juga yang mengalami sakit abdomen yang teruk dan kawasan sekitar rahim lembut. Kadang-kadang anda boleh mengetahui kawasan pendarahan di bahagian dalaman melalui ujian imbasan yang dilakukan oleh doktor.

◕◕Rawatan◕◕

Rawatan adalah bergantung pada tahap lekangan. Kadang kala pemisahan sebahagian atau yang kecil tidak mendatangkan masalah tetapi dalam kebanyakkan kes serius, bayi dalam kandungan perlu dilahirkan secepat mungkin, biasanya melalui kaedah caesarean.

#3 – GESTATIONAL DIABETES

gestational diabetes

Ia adalah diabetes yang dialami ketika hamil. Tubuh anda biasanya menghasilkan hormon insulin yang mengawal glukosa agar kekal dalam darah. Walau bagaimanapun, hormon kehamilan kadangkala boleh mengganggu proses ini.

◕◕Golongan Berisiko Tinggi◕◕

Sesiapa sahaja boleh mengalaminya. Namun segelintir ibu hamil lebih berisiko mengalaminya. Ini termasuklah golongan ibu berusia, yang mempunyai indeks jisim tubuh yang tinggi dan anda yang mempunyai sejarah keluarga yang menghidap diabetes.

◕◕Simptom◕◕

Anda akan mengalami dahaga keterlaluan, kerap membuang air kecil dan mudah letih. Gula di dalam air kencing adalah salah satu simptomnya. Jika ia dapat dikesan, anda akan diberi ujian toleransi glukosa. Anda perlu minum air gula dan perlu mengambil ujian darah sebelum dan selepas meminum air gula bagi mengesahkan anda mengalami diabetes atau sebaliknya. Selain itu, jika doktor mendapati bayi bersaiz besar, anda juga perlu mengambi ujian yang sama.

◕◕Rawatan◕◕

Doktor akan memantau bagi memastikan tahap gula dalam darah adalah normal. Kebanyakkan wanita hamil mengawal diabetes dengan menjaga pemakanan dan senaman. Ada juga yang perlu mengambil suntikan insulin. Keadaan ini biasanya kembali normal sebaik sahaja bayi dilahirkan tetapi anda masih perlu menjalani pemeriksaan susulan selepas melahirkannya.

 

Advertisements
Posted in: Info