Masalah Kulit Ibu Hamil

Posted on February 19, 2015

0


Ketika hamil saya turut merasai masalah berkaitan kulit ini namun alhamdullillah setelah beberapa bulan melahirkan semuanya kembali kepada normal kecuali masalah jerawat di belakang badan (yang akhirnya dapat diatasi setelah saya mengambil produk Shaklee seperti yang pernah saya ceritakan sebelum ini).

pregnant

Kepada ibu-ibu hamil jangan panik ya. Ketahui kenapa masalah kulit ini terjadi dan bagaimana untuk mengatasinya. Untuk pengetahuan anda, masalah kulit terjadi disebabkan perubahan hormon dan bayi yang anda kandung mula membesar. Biasanya perubahan kulit tidak menyebabkan masalah kesihatan.

Anda cuma perlu memaklumkan kepada doktor sekiranya mengalami sebarang perubahan. Contohnya, warna atau saiz tahi lalat, atau sekiranya perubahan pigmentasi berlaku turut disertai kesakitan, bengkak atau lebam. Antara perubahan kulit yang biasa berlaku semasa hamil adalah seperti:

1. CHLOASMA (PIGMENTASI MUKA DAN LEHER)

Turut dikenali sebagai topeng kehamilan. Ia kelihatan sebagai tompok-tompok gelap pada dahi, pipi dan leher. Pada wanita berkulit gelap, ia muncul sebagai tompok-tompok cerah. Ini disebabkan peningkatan hormon melanin, memberi warna gelap pada kulit. Hormon ini melindungi kulit daripada cahaya ultra violet.

Cara atasi: Lindungi kulit dengan krim pelindung matahari dengan SPF15 atau lebih. Pakailah topi apabila keluar dari rumah. Jika anda rasa tompokan tersebut kelihatan hodoh, cuba selaraskan tona kulit dengan menggunakan bedak asas yang agak gelap. Tompokan ini akan hilang dalam tempoh tiga bulan selepas bersalin.

2. LINEA NIGRA (GARISAN GELAP SEPANJANG PERUT)

Garisan menegak berwarna gelap dengan kelebaran sehingga satu sentimeter yang terbentuk pada tengah-tengah perut, biasanya merentasi pusat. Ia biasanya muncul sekitar trimester kedua. Ia disebabkan oleh pigmentasi pada kulit di mana otot abdomen anda meregang untuk memudahkan pembesaran bayi anda. Garisan ini akan pudar dalam masa beberapa minggu selepas anda melahirkan. Bahagian lain seperti puting payudara, tahi lalat dan bintik-bintik gelap pada kulit mungkin akan turut mengalami perubahan pigmentasi.

Cara atasi: Gosok bahagian ini untuk menghilangkan kulit kering.

3. TOMPOKAN MERAH (WATER RETENTION)

Tompok-tompok merah di bahagian muka adalah akibat dari kulit anda menyimpan lebih banyak kelembapan. Mulanya kulit anda berseri dan berlaku peningkatan tahap darah yang beredar di seluruh badan. Kadang kala membuatkan anda rasa agak panas.

Cara atasi: Jangan cuba kurangkan meminun air kerana badan anda memerlukan banyak air. Sebaliknya, berehatlah seberapa kerap yang boleh. Tompok merah yang ada akan berkurangan selepas anda bersalin. Tetapi jika anda mahu menutupnya, gunakan bedak asas yang lembap.

4. JARINGAN URAT (SPIDER VEINS)

Kapilari-kapilari darah (salur darah halus) yang biasanya kelihatan di pipi. Ia biasa berlaku pada wanita hamil, terutamanya mereka yang sudah biasa mengalaminya. Ia disebabkan oleh peningkatan isi padu darah dalam badan yang memberi lebih tekanan pada kapilari yang sememangnya lebih sensitif semasa anda hamil.

Cara atasinya: Lindungi muka anda daripada kesejukan atau kepanasan melampau kerana keadaan ini boleh menggalakkan pembentukan jaringan urat. Urat-urat ini akan hilang setelah tahap hormon anda menjadi stabil semula selepas bersalin.

Advertisements
Posted in: Ibu Hamil, Info