Pantang Larang Pesakit Gout: Jangan Makan Ikut Suka

Posted on March 10, 2015

0


Dalam keluarga saya ada dua orang yang disahkan positif ada gout. Ummy dan adik ipar saya. Minggu lepas saya berpeluang melihat sendiri bagaimana keadaan adik ipar ketika diserang gout. Kakinya menjadi bengkak dan sakit jika disentuh. Jalan pun terhenjut-henjut. Curi sedikit masa anda untuk membaca artikel tentang gout ini. Ia agak panjang namun penuh dengan informasi berguna juga dijelaskan bahaya menanti kepada penghidap gout.

Pantang Larang Pesakit Gout

Apabila tiba-tiba sendi ibu jari kaki menjadi bengkak, kemerahan, nyilu, terasa sakit atau berdenyut, jangan anggapnya sebagai sakit sendi biasa sebaliknya anda mungkin menghidap gout.

Gout bukan penyakit sendi yang boleh diatasi dengan suntikan dan ubat tahan sakit atau biarkan sahaja sehingga rasa sakit hilang. Hakikatnya gout berkait rapat dengan kesihatan buah pinggang. Kekerapan mengambil ubat tahan sakit yang mengundang bahaya pada organ terbabit dan kajian terbaru ia dikaitkan dengan faktor pemakanan.

Lelaki lebih cenderung diserang gout berbanding wanita. Ini kerana wanita dilindungi oleh hormon estrogen yang membantu menstabilkan keseimbangan sistem dalaman badan dan mencegah peningkatan paras asid urik dalam darah. Namun wanita berisiko selepas mengalami menopous.

Asid Urik

Gout terjadi akibat gangguan metabolisme asid urik yang tinggi dalam badan hingga menyebabkan radang pada bahagian sendi. Selain ibu jari, gout juga boleh menyerang bahagian tengkuk, bahu, tulang pinggul dan juga lutut.

Asid urik adalah bahan hasil daripada pemecahan sel-sel matang asik ribonukleik (RNA) dan asid deoksiribonukleik (DNA) yang mati dalam hati. Ia terhasil daripada pengambilan makanan yang tinggi kandungan protein purina. Protein ini akan diuraikan menjadi asid amino dan sebahagian lebihan asid amino pula diuraikan menjadi asid urik.

Gout menyebabkan penghidapnya berisiko mengalami kerosakkan buah pinggang di masa akan datang. Jika buah pinggang gagal berfungsi, ia menyukarkan sistem perkumuhan asid urik yang lazimnya disingkirkan melalui najis dan air kencing. Kesannya lebihan asid urik yang terperangkap di dalam darah akan berkumpul di buah pinggang dan membentuk kristal garam yang merosakkan dan mengecutkan buah pinggang. Akhirnya penghidap gout juga akan mendapat batu karang hipertensi.

Peningkatan asid urik sering dikaitkan dengan faktor pengambilan makanan yang tinggi kandungan purina seperti sumber makanan laut, kekacang dan daging merah. Kekurangan air dalam badan juga boleh meningkatkan paras asid urik dalam darah sehingga gout yang dihidapi menjadi lebih kronik.

Amalan pemakanan yang betul dan minum air sekurang-kurangnya lapan gelas sehari mampu membantu mencegah serangan gout. Amalan ini membantu meneutralkan paras asid urik dan menyingkirkannya dari badan. Tahap asid urik yang normal dalam darah ialah antara 0.21 hingga 0.42 mmol/L.

Pesakit gout harus elakkan dari makan makanan laut seperti kerang, udang, ketam, ikan bilis dan salmon kerana kandungan purinanya yang tinggi. Purina ialah sejenis protein yang membentuk asid urik hasil dari proses metabolisme dan berpotensi menyebabkan gout. Purina juga terdapat di dalam organ dalaman haiwan seperti hati, pedal ayam, perut dan otak.

Simptom

Gout sejenis penyakit yang menyerang sendi terutamanya sendi ibu jari kaki. Berlaku secara berulang-ulang, bergantung kepada bagaimana penghidapnya menjalani rawatan dan mengambil langkah pencegahan dapat mengelakkan serangan dari berulang. Walaupun gout sinonim dengan lelaki berusia, kini golongan muda juga tidak terkecuali, malah kajian mendapati ada remaja lelaki berusia 13 tahun menghidap gout.

Gout lazimya menyerang ibu jari kaki menyebabkannya bengkak, kemerahan, panas dan sangat sakit. Rasa sakit berlarutan sehingga berhari-hari atau sekurang-kurang satu hingga dua minggu untuk sembuh jika tidak dirawat. Sakit mungkin menyerang semula selepas beberapa minggu atau bulan. Gout boleh menyerang sendi-sendi lain seperti buku lali, lutut, pergelangan tangan dan jari.

Rawatan

Perkara paling utama perlu dilakukan adalah rehatkan sendi semasa serangan gout. Pengambilan ubat-ubatan anti radang berkesan untuk mengurangkan sakit dn keradangan sendi. Walaupun ia boleh mendatangkan kesan sampingan seperti sakit perut jika digunakan dalam jangka waktu yang singkat, kesan sampingan jarang berlaku.

Ubatan lain seperti colchinine juga boleh diambil, walaupun berkesan tetapi ia boleh menyebabkan rasa loya, muntah dan cirit-birit. Suntikan cecair steroid akan disuntik terus ke sendi yang mengalami radang. Pil steroid boleh diambil dalam jangka masa pendek jika penghidap tidak boleh mengambil ubat-ubatan lain. Bagaimanapun ia tidak boleh diambil berterusan.

Penghidap juga perlu peka terhadap tanda-tanda awal serangan. Jika rawatan dimulakan awal, penyakit tidak akan melarat. Oleh kerana gout disebabkan asid urik yang berlebihan dalam badan, anda haruslah mengelakkan faktor-faktor yang boleh menambah paras asid urik.

Pencegahan

Ubah cara hidup anda untuk memastikan paras asid urik yang normal. Amalkan cara hidup yang sihat untuk mengelakkan dari menghidap penyakit yang berhubung kait dengan gout. Apabila mengambil allopurinol semasa serangan gout, minum banyak air.

Makanan yang perlu dielakkan termasuklah organ dalaman seperti hati, paru, ginjal dan otak, ikan bilis, kembung dan sardin, daging cencang, ekstrak daging, ragi dan kiub rebusan daging dan makanan cengkerang seperti ketam, udang dan kerang.

Anda juga perlu kurangkan pengambilan asparagus, kubis bunga, cendawan, bayam, kekacang, roti jagung dan bijirin.

Adakah Gout Boleh Diwarisi?

Gout boleh diwarisi tetapi faktor persekitaran juga memainkan peranan. Gout adalah penyakit yang boleh dirawat. Pada zaman dahulu gout merupakan salah satu penyebab kerosakan dan kecacatan sendi. Pada hari ini dengan rawatan yang baik, ia boleh dikawal. Paling penting untuk mengamalkan cara hidup sihat.

5 Langkah Kurangkan GOUT

  • Kekalkan Hidrasi

Badan manusia memerlukan air untuk mengepam toksin dalam badan dan membawa nutrien kepada sel tubuh. Dalam kes berkaitan gout, asid urik yang berlebihan akan membina sendi yang menyebabkan serangan penyakit itu dikumuhkan dalam air kencing. Jadi, apabila tubuh terhidrat, ia mampu mengusir aisd urik dengan kerap kencing supaya ia tidak akan terkumpul di dalam sendi.

  • Elak Beli Ubat Gout Di Kaunter

Ada beberapa jenis ubat-ubatan gout yang perlu dielakkan. Paling lazim dijual ialah aspirin dan diuretik iaitu ubat membantu membuang air daripada badan. Aspirin dikesan boleh menyebabkan paras asid urik dalam badan menjadi tinggi dan menyebabkan lebih banyak serangan gout. Diuretik pula berfungi membuang air daripada badan.

  • Makan Secara Sihat

Makan dengan betul. Minum banyak air kerana ia sangat penting untuk pesakit gout. Ada diet khas untuk pesakit gout yang boleh mengurangkan beberapa jenis makanan yang mengandungi purina kerana bahan itu dipecahkan oleh badan sekaligus menyebabkan tahap asid urik meningkat.

  • Mengekalkan Berat Badan

Satu perkara penting bagi pesakit gout ialah mengekalkan berat badan. Jika gagal, ia menyebabkan jumlah asid urik dalam badan juga meningkat. Lakukan juga senaman sederhana.

  • Rehat

Tidur cara pemulihan yang terbaik untuk tubuh. Mendapatkan rehat yang cukup adalah penting bagi penyakit gout kerana apabila tekanan meningkat ia akan membawa kepada lebih banyak serangan penyakit itu.

Advertisements
Posted in: Info